APABILA berlaku kecemasan seperti kebakaran, jejari kita pasti pantas menekan nombor 999. Dalam beberapa saat, panggilan tersebut akan disambungkan kepada agensi penguat kuasa yang berkaitan.

Betapa mudahnya, urusan panggilan kecemasan pada hari ini. Ia bermula pada tahun 2009 apabila sebuah syarikat tempatan, Mutiara Teknologi (M) Sdn. Bhd. (Mutiara Teknologi) yang berkecimpung dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah dilantik menerusi Telekom Malaysia sebagai pembekal dan penyelenggaraan untuk memperkenalkan Sistem Perkhidmatan Kecemasan Malaysia atau MERS 999.

Sistem itu merupakan yang pertama di negara ini mengintegrasikan lima buah agensi penguat kuasa iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pembekal perkhidmatan perubatan di hospital, Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Pada peringkat awal, Mutiara Teknologi yang merupakan penyedia teknologi telah memulakan perniagaan khusus dalam bidang telekomunikasi radio dua hala. Namun, pada tahun 2009, kami memulakan fasa pertama MERS 999 di Lembah Klang sebelum memasuki fasa kedua, tiga tahun kemudian dengan melebarkan sayap di seluruh Semenanjung. Pada tahun 2014, ia diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

Seluruh negara

“Kelebihan MERS 999 ini, ia meliputi seluruh negara dan ketika berlaku kecemasan, panggilan dapat disalurkan kepada agensi berkenaan dengan pantas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Teknologi, Puteri Mariana Abdul Majid, 47, ketika ditemui K2 di pejabatnya di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Projek MERS 999 adalah di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar yang kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Mutiara Teknologi menyambut ulang tahun ke-20 tahun ini merupakan syarikat perintis dalam perkhidmatan keselamatan awam di rantau Asia Tenggara.

Bermula dengan lima orang pekerja dan kini syarikat berkenaan mempunyai 116 pekerja mahir yang mampu memberikan khidmat kepada pelanggan sama ada daripada sektor kerajaan, swasta atau luar negara.

Lebih menarik, syarikat yang mendapat status Multimedia Super Corridor dan ahli Malaysia Smart Cities Alliance itu dipacu perkembangannya oleh wanita berkarisma iaitu Puteri Mariana.

Mengawal selia

“Tugas ini sangat besar dan mencabar terutamanya dari segi kecekapan teknikal. Begitupun, saya cukup bertuah kerana mempunyai pasukan mantap yang menyokong perkembangan syarikat ini.

“Saya juga percaya sesuatu sistem yang kita bangunkan, kita kena ambil tanggungjawab dalam mengawal selia walaupun ia dipunyai oleh pihak luar. Justeru, kita mempunyai kakitangan yang pakar dari segi kerja-kerja penyelenggaraan sistem dan memberi latihan kepada pihak luar,” kata pemegang Sarjana Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan daripada Universiti Warwick, Coventry, United Kingdom itu.

Menurutnya, usaha untuk mendapatkan kecekapan teknikal itu bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan banyak pengorbanan dari segi masa dan tenaga.

Pihaknya perlu berfikiran positif terutama dalam membuat kerja-kerja pengawal seliaan, penyelenggaraan sistem, latihan dan bantuan sokongan.

Bagaimanapun, MERS 999 misalnya telah menaikkan imej Mutiara Teknologi dalam dan luar negara kerana sistem berkenaan masih asing di kebanyakan negara.

“Kelebihan sistem ini, kerajaan boleh tahu lokasi pemanggil dan di mana kejadian berlaku. Ia boleh salur maklumat dengan cepat, sekali gus bantuan dapat dihantar segera.

“Panggilan palsu boleh dikurangkan berdasarkan lokasi pemanggil membuat panggilan. Ia juga mengesan lokasi kejadian walaupun pemanggil berada di tempat lain,” jelasnya yang berharap panggilan palsu akan terus berkurangan pada masa depan.

Selain itu, Mutiara Teknologi telah menceburi beberapa projek yang melibatkan integrasi sistem di negara ini. Projek-projek siap guna ini dapat membangunkan lagi kapasiti syarikat berkenaan dalam mengembangkan kepakaran dalam bidang ICT melalui pemindahan teknologi dari syarikat luar negara dan secara tidak langsung membantu menyokong syarikat-syarikat tempatan.

Seiring memacu perniagaan ke hadapan, Mutiara Teknologi telah menubuhkan empat anak syarikat bagi menceburi bidang baharu seperti minyak dan gas, usahasama serta perbankan.

Perjalanan kerjaya Puteri Mariana yang menyertai Mutiara Teknologi pada tahun 2005 sebagai Pengurus Besar dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 1 April 2014 turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima Anugerah Ikon Kepimpinan Jenama 2017 BrandLaureate Asia Pasific Brands Foundation.

Dalam dunia perniagaan yang biasanya dimonopoli oleh lelaki, cabaran untuk menghapuskan stigma bahawa kaum wanita belum mampu berdiri sama tinggi masih lagi membelenggu masyarakat.

Justeru, Puteri Mariana memikul tanggungjawab yang berat, namun beliau fokus dan tegas dalam membuat sebarang keputusan. Apatah lagi, bahagian pengurusan kebanyakannya adalah lelaki.

Kelebihan

Menjelaskan tentang kejayaan itu, beliau berkata, kehadiran suaminya, Mohammad Hishamuddin Hassan, 46, yang merupakan Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan yang turut bekerja di syarikat berkenaan memberikan banyak kelebihan kepada dirinya.

“Kami tidak mempunyai masalah bekerja di bawah satu bumbung. Walaupun terdapat syarikat yang tidak suka mengambil ahli keluarga bekerja di syarikat mereka, tetapi kami tidak mempunyai polisi sedemikian.

“Terdapat juga beberapa pekerja lain yang merupakan pasangan suami isteri bekerja di sini. Selagi mereka mematuhi peraturan kerja, kami tidak mempunyai masalah dan mereka juga tidak mendatangkan sebarang masalah kepada syarikat kami,” katanya yang memberitahu syarikatnya turut mengadakan bacaan Yasin atau ceramah agama setiap Jumaat untuk para pekerjanya.

Puteri Mariana Abdul Majid menerajui sebuah syarikat tempatan yang merupakan perintis dalam perkhidmatan keselamatan awam di rantau Asia Tenggara yang menawarkan pembangunan dan pembekal sistem dalam bidang teknologi maklumat.

Sumber: http://kosmo.com.my/k2/rencana-utama/panggilan-kecemasan-pantas-disambungkan-1.867725

Leave a Reply

For Perfect View

Suggested Browser:
Chrome 30+, Firefox 30+, Safari 7+, Internet Explorer 10+. This site can be navigated using the desktop and smartphones. Best viewed with minimum resolution of 1920x1080.

Disclaimer

Mutiara Teknologi (M) Sdn Bhd will not be responsible for any damage or loss caused by the use of the informations in this site. All informations displayed is true and correct at the time of the date and time of publications and subject to revision from time to time.

Copyright 2021 Mutiara Teknologi. All Rights Reserved.
All Trademarks Are The Property of Their Respective Owner.