News

Kejayaan Mutiara Teknologi jadi rujukan negara serantau

PERJALANAN jauh beribu batu bermula dengan satu langkah pertama. Itu gambaran yang boleh diberikan kepada syarikat tempatan, Mutiara Teknologi (M) Sdn Bhd (Mutiara Teknologi) yang kini mampu mencipta kejayaannya tersendiri setanding dengan syarikat terkemuka lain di negara ini.

Ditubuhkan pada tahun 1999, Mutiara Teknologi diwujudkan dengan inisiatif untuk menjadi pemacu yang inovatif dan kreatif dalam bidang perkhidmatan teknologi maklumat (ICT).

Bermula dengan menyewa premis kecil di taman industri kecil sederhana di Bangi dengan lima pekerja, kini Mutiara Teknologi sudah memiliki premis sendiri di Pusat Bandar Bangi dengan keupayaan 78 tenaga kerja mahir.

Selepas lebih 14 tahun dalam bidang ini, Mutiara Teknologi telah membuktikan kebolehan dengan menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta.

Tambah menarik, syarikat yang menerima pengiktirafan oleh SMEs BrandLaureate Award 2015-2016, kini menerima ‘sentuhan pengurusan’ daripada seorang wanita cekal Puteri Mariana Abdul Majid yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Teknologi.

Wanita berkarisma itu menegaskan, kejayaan Mutiara Teknologi yang diraih pada hari ini adalah hasil semangat bekerja secara berpasukan dan berpegang kuat kepada prinsip kepercayaan.

“Kita perlu tahu apa yang perlu dibuat dan berani menyuarakan pendapat. Apatah lagi, sebagai seorang wanita, saya perlu lebih banyak membuat ‘homework’ kerana kita perlu lebih tahu lebih banyak daripada lelaki.

“Ia juga adalah sebagai tuntutan kerana kepakaran Mutiara Teknologi kini meliputi penyelesaian perkomputeran, perniagaan teknologi maklumat, rangkaian dan penyelesaian masalah,” katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Selain itu menurut beliau, membina kepercayaan juga adalah kunci utama kepada kejayaan sesebuah organisasi dan juga individu kerana apabila ia dijadikan satu prinsip setiap permasalahan dapat diatasi dengan sebaiknya.

“Membentuk sebuah syarikat berjaya, apatah lagi dalam perniagaan kita perlu mendapatkan kepercayaan daripada kakitangan dan juga pelanggan kita,” katanya.

Pada peringkat awal, Mutiara Teknologi memulakan perniagaan khusus dalam bidang telekomunikasi radio dua hala. Namun, kira-kira 10 tahun lalu, syarikat berkenaan menceburi bidang teknologi maklumat dengan menawarkan perkhidmatan infrastruktur dan aplikasi. Malah, Mutiara Teknologi adalah perintis kepada beberapa sistem Perkhidmatan Kecemasan Malaysia.

Bagi memantapkan operasi, syarikat itu juga turut mendapatkan khidmat kepakaran tenaga kerja luar yang  seterusnya telah dimanfaatkan secara keseluruhan oleh pakar tempatan yang berkhidmat di Mutiara Teknologi.

Puteri Mariana berkata, usaha yang diambil itu dapat telah berjaya ‘membentuk’ Mutiara Teknologi, apabila negara luar seperti Kemboja, Indonesia dan Filipina menjadikan syarikat berkenaan sebagai sumber rujukan dalam bidang yang diceburi.

“Ada projek yang dijalankan di dalam negara, mahupun di luar. Ini menunjukkan kepakaran kami juga diterima di peringkat global. Malah terbaharu, kami bakal menjalankan projek Pengurusan Amaran Banjir Negara Fasa 1 di kawasan pantai timur.

“Selain itu, kami juga membuktikan keupayaan dengan melaksanakan projek pembekalan hampir 3,000 iPad berserta kepakarannya untuk kegunaan pelajar Universiti Malaysia Kelantan bagi memastikan keberkesanan
serta kemajuan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

“Untuk mengembangkan sayap perniagaan, perkhidmatan kami tidak hanya terhad kepada bidang keselamatan awam sahaja tetapi turut menceburi bidang pendidikan seperti projek dengan Universiti Malaysia Kelantan dan Politeknik Mersing yang kini dalam perancangan,” katanya.

Sehingga kini, Mutiara Teknologi mencatatkan modal berbayar syarikat sebanyak RM3 juta dan RM10 juta lagi dilaburkan bagi pembangunan modal insan.

Ia termasuk dalam aspek latihan, pensijilan dan khidmat bimbingan untuk melahirkan pakar dalam bidang berkenaan serta pembinaan infrastruktur berkaitan bagi menjamin kualiti dan kreativiti pekerja.

Mutiara Teknologi juga kini menempa kejayaan apabila menjadi salah sebuah syarikat Bumiputera yang mampu beroperasi menggunakan tenaga kerja tempatan dalam operasinya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/node/161285

For Perfect View

Suggested Browser:
Chrome 30+, Firefox 30+, Safari 7+, Internet Explorer 10+,
This site can be navigated using the desktop and smartphones. Best viewed with minimum resolution of 1920x1080.

Disclaimer

Mutiara Teknologi (M) Sdn Bhd will not be responsible for any damage or loss caused by the use of the informations in this site. All informations displayed is true and correct at the time of the date and time of publications and subject to revision from time to time.

Copyright 2019 Mutiara Teknologi. All Rights Reserved.
All Trademarks Are The Property of Their Respective Owner.